Thursday, July 25, 2024

Genap sebulan, misteri kehilangan Rohani masih belum terungkai

GEORGE TOWN – Misteri kehilangan seorang wanita warga emas sejak sebulan lalu masih belum terjawab meskipun pihak polis telah berusaha menjejakinya selepas menerima laporan daripada pihak keluarga.

Rohani Babu, 63, yang turut dikenali sebagai ‘Makndak’ dikatakan kali terakhir dilihat berada di rumahnya di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam, di sini, pada 9 Jun lalu.

Sepupunya, Shamsiah Ibrahim, 39, berkata, Rohani disedari hilang pada tengah malam selepas mendapati pintu rumahnya terbuka dengan keadaan dalam yang berselerak.

“Dia dipercayai keluar dari rumah tanpa membawa dokumen pengenalan diri dan kami tidak tahu warna pakaian terakhir yang dipakainya.

“Sejak itu pencarian terhadap Rohani tidak pernah terputus dan dilakukan di sekitar tempat awam di bahagian pulau.

“Selain mendapatkan khidmat bantuan pengamal perubatan Islam, kami turut mencetak dan menampal poster kehilangan Rohani di kawasan orang ramai termasuk stesen bas serta pasar awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut Shamsiah berkata, dua laporan polis sudah dibuat keluarga susulan kehilangan sepupunya itu.

“Sebelum ini, Rohani sudah dua kali hilang namun berjaya ditemui kerana membawa kad pengenalan bersama.

“Kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Rohani hubungi saya (Shamsiah) di talian 011 6486 6763 atau balai polis berhampiran,” kata Shamsiah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa dan usaha mengesan wanita itu dijalankan pihak polis.

“Anak lelaki mangsa yang tinggal di Seberang Perai turut melakukan pelbagai usaha mengesan ibunya, bagaimanapun sehingga kini wanita itu masih belum ditemui.

“Justeru, kita minta bantuan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung Rohani untuk menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Zolkefli Mohd Nor di talian 013 595 1192 atau Balai Polis Bandar Baru 04 282 4522,” katanya.