Thursday, July 25, 2024

Impian pesilat tertunai buat arwah ayah

KEKECEWAAN pesilat negara, Mohammad Firdaus Mohd. Israj ketika terlepas pingat emas dua tahun lalu terubat selepas dia meraih emas menerusi kategori tanding lelaki B pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024.

Pada aksi final yang berlangsung di UMM Dome, Universitas Muhammadiyah, Malang semalam, atlet berusia 24 tahun itu memastikan kemenangan menjadi miliknya selepas membenam cabaran pesilat Thailand, Soradet dengan keputusan 56-28.

Kemenangan itu bukan sahaja menebus kekecewaan pada edisi dua tahun lalu di Ubon Ratchathani, Thailand, malah ia dapat memenuhi hasratnya untuk menghadiahkan pingat emas tersebut kepada arwah bapanya, Mohd. Israj Ismail.

“Sebenarnya pingat emas ini saya nak dedikasikan kepada arwah ayah kerana ketika di Ubon dua tahun lalu, beliau dimasukkan ke hospital ketika hari pertama saya tiba di AUG. Keadaan itu menyebabkan saya tidak boleh fokus ketika perlawanan.

“Selepas pulang dari AUG, saya terus ke Sukipt (Sukan Institusi Pengajian Tinggi). Beberapa hari kemudian, ayah meninggal dunia kerana sakit buah pinggang. Oleh itu, saya dedikasikan emas ini untuk arwah ayah,” katanya.

Mengulas aksi di pentas final, atlet kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia menerapkan corak lebih taktikal berbanding atlet lawan yang mengharapkan kelebihan dari segi kekuatan fizikal.

“Hari ini (semalam) saya menang 56-28 ke atas Thailand. Bagi saya, kekuatan dia adalah dari segi sepakan yang kuat kerana dia memang memiliki kelebihan dari segi ketahanan dan kekuatan fizikal.

“Sementara itu, saya pula lebih menerapkan corak yang lebih taktikal. Alhamdulillah ia berkesan dan berjaya memastikan kemenangan untuk saya,” ujarnya yang berada pada tahun akhir jurusan Sains Sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).