Thursday, July 25, 2024

Industri ikan hiasan meningkat, penyumbang ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Industri ikan hiasan mempunyai potensi besar kepada ekonomi negara terutama dari segi eksport dan pendapatan penternak dengan pengeluarannya dijangka meningkat sebanyak 352 juta ekor bernilai RM550 juta menjelang 2030.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, pengeluaran ikan hiasan pada 2023 adalah sebanyak 241 juta ekor dengan nilai RM373 juta dan 21 peratus daripadanya bagi tujuan eksport.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa industri ikan hiasan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.

“Jabatan Perikanan (DOF) akan terus komited menyokong industri ini dan membantu penternak ikan hiasan Malaysia mencapai kejayaan di pasaran global,” katanya dalam kenyataan DOF, pada Sabtu.

Berdasarkan statistik DOF pada 2023, Johor menjadi negeri tertinggi bagi pengeluaran utama ikan hiasan dengan nilai sebanyak RM261 juta diikuti Perak RM87 juta, Pulau Pinang RM8 juta dan Sarawak RM3.5 juta.

Bagi ikan hiasan bernilai komersial (kecuali Arowana), ikan tetra mencatatkan nilai jualan paling tinggi iaitu RM24.2 juta diikuti ikan koi (RM12.2 juta), ikan discus (RM11.3 juta), ikan gupi (RM11 juta), ikan molly (RM10.8 juta) dan ikan laga (betta) (RM9.4 juta).

Menurut kenyataan itu, antara inisiatif yang dilaksanakan DOF adalah pemberian bantuan peralatan dan makanan ikan melalui Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur setiap tahun, khidmat nasihat teknikal berkenaan pemeriksaan kualiti air, pensijilan dan pematuhan biosekuriti serta siri latihan kepada penternak.

Bagi mempromosikan industri ikan hiasan serta meningkatkan kualiti ikan yang diternak di Malaysia, DOF juga menggalakkan pengusaha (penternak/pengeksport) menyertai pameran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata pameran Aquafair Kuala Lumpur 2023 menyaksikan seramai 10 pengusaha menyertai reruai yang disediakan oleh jabatan itu selain lapan pengusaha termasuk Chew Thean Yeang (CTY) Aquarium Sdn Bhd menyertai Pavilion DOF Interzoo 2024 di Jerman.

Turut diadakan seminar Plecostomus (ikan bandaraya) yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai cara yang betul untuk memelihara ikan hiasan. – BERNAMA