Sunday, May 26, 2024

Isu cukai PKPS 2.0 LHDN dengan Mila Jirin selesai

Kuala Lumpur: Isu cukai pendapatan di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan penyanyi dan usahawan Mila Jirin selesai.

Pengarah Jabatan Khidmat Korporqat LHDN Malaysia Noraini Mustafa berkata, perkara itu sudah diselesaikan dengan pihak Mila.

“Untuk makluman, perkara ini sudah diselesaikan dengan baik bersama pembayar cukai berkenaan (Mila),” katanya dalam jawapan balas menerusi kiriman emel kepada Harian Metro.

Sementara itu, Mila, 37, atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin berkata, aduan yang dibuatnya terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Datuk Abu Tariq Jamaluddin mendapat maklum balas segera pihak LHDN Negeri Sembilan.

“Kurang 24 jam selepas saya hantar emel kepada CEO LHDNM pada 9 Mei, saya sudah dihubungi oleh Pengarah LHDN Negeri Sembilan dan memaklumkan proses PKPS saya sudah dijalan segera. Berdasarkan makluman diterima, benar proses PKPS adalah dalam masa 14 hari bekerja dan kelewatan ini adalah disebabkan kekhilafan pegawai yang menguruskan PKPS saya dan suami.

“Saya juga sudah menerima emel balas daripada CEO dan amat berterima kasih di atas perhatian dan tindakan pantas oleh semua pegawai LHDN yang sudah menyelesaikan isu ini. Ketelusan beliau dalam menyelesaikan masalah ini amat saya hargai,” katanya.

Menurutnya, pada 10 Mei isu PKPS membabitkan dirinya dan suami sudah diselesaikan.

“Perkara ini juga sudah disahkan oleh ejen cukai kami yang sudah berurusan secara terus dengan cawangan LHDN Negeri Sembilan untuk mendapatkan surat layak PKPS kami berdua.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kami hanya inginkan keadilan dan jaminan kepada kami yang menyertai PKPS agar kesucian program ini tidak dicemari. Semua yang menyertai program ini tidak akan diaudit seperti janji awal.

“Diakui saya alami pengalaman sukar dalam proses program ini, tapi selepas isu saya ini diselesaikan saya berpuas hati dengan tindakan segera daripada pihak LHDN yang diketuai oleh Datuk Abu Tariq Jamaluddin. Saya juga diberi pemurnian maklumat berkenaan program ini secara terperinci khususnya manfaat program ini,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Mila berasa teraniaya dengan tindakan LHDN kerana masih menghantar notis audit sedangkan sudah menghantar permohonan lebih awal.

Menurutnya, dia dan suami tidak pernah culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam membayar cukai pendapatan peribadi mahupun cukai pendapatan syarikat setiap tahun.

Kredit: Sudirman Mohd Tahir | Harian Metro