Wednesday, June 26, 2024

Kemalangan rombongan guru: KPM tunggu laporan penuh punca kemalangan – Fadhlina Sidek

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menunggu laporan penuh punca kemalangan bas ekspres membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka yang mengorbankan tiga individu termasuk guru di Lebuh Raya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah, Kuantan pada awal pagi Ahad.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya juga akan memastikan semua kebajikan mangsa terlibat diberi keutamaan.

Dalam masa sama, KPM akan memberikan sokongan psikososial kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Di peringkat KPM, kita sedang mengambil semua langkah untuk dapatkan laporan penuh punca kejadian dan juga kebajikan guru-guru yang sebahagiannya ada di hospital.

“(Begitu juga) dengan persiapan sekolah kerana esok ada sekolah yang akan kehilangan guru, jadi kita kerahkan kaunselor untuk turun ke semua sekolah ini untuk memberikan sokongan psikososial kepada rakan-rakan guru dan juga anak murid yang kehilangan guru dalam kejadian ini,” kata beliau.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian kepada media selepas hadir merasmikan program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian awal pagi tadi, tiga maut selepas bas ekspres membawa rombongan guru SK Jeram terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah.

Bas membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu yang dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu itu turut dilaporkan terbabas dan terjunam ke cerun.

Baca ini > Dua maut, 37 cedera kemalangan babitkan bas persiaran, treler