Sunday, May 26, 2024

Kerjasama Kerajaan Perpaduan kukuh, agenda reformasi diteruskan – PM Anwar

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dapat meneruskan agenda reformasi yang cuba dibawanya selepas mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada 24 November 2022, meskipun Kerajaan Perpaduan diterajuinya dibentuk gabungan berbelas parti politik berbeza.

Namun begitu, Anwar menjelaskan persefahaman kukuh dalam kalangan parti yang membarisi Kerajaan Perpaduan juga membolehkan lebih banyak agenda reformasi dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, ini termasuklah dalam soal memerangi rasuah, tadbir urus yang baik serta agenda reformasi dalam pendidikan.

“Pujian harus diberikan kepada parti yang saya terajui dan juga parti gabungan termasuk dari Sabah dan juga Sarawak.

“Ingin saya katakan sudah setahun setengah (saya menerajui kerajaan), tiada seorang pun daripada mereka (rakan daripada parti gabungan) datang kepada saya dan berkata – Anwar, perlahan sikit lawan rasuah atau kami tak sokong pembaharuan ini… tiada (seorang pun).

“Sebab itulah saya boleh lakukannya dengan penuh semangat serta yakin, dan saya percaya Malaysia boleh teruskan lakukan pembaharuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum di hadapan kira-kira 300 hadirin di Perpustakaan Kebangsaan Qatar di Universiti Hamad Bin Khalifa, di sini, hari ini.

Pada sesi syarahan umum hampir 25 minit itu, Anwar menyentuh pelbagai isu berkisar tajuk ‘Future of The Muslim World’ (Masa Depan Dunia Islam) termasuk mengenai kekejaman serta ketidakadilan seperti yang berlaku terhadap Palestin.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Mengulas kekuatan Kerajaan MADANI yang diterajuinya, Perdana Menteri berkata ia terletak pada dasar yang jelas.

“Kita ada dasar yang jelas… apa yang kami maksudkan dengan transformasi digital dan transisi tenaga. Kita juga ada pelan induk industri yang baharu, begitu juga berkaitan keselamatan makanan,” katanya.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Qatar, negara Arab Teluk kedua dikunjungi selepas Arab Saudi dalam misi untuk menarik pelaburan baharu khususnya dari negara Asia Barat.

Terdahulu beliau mengadakan sesi meja bulat bersama lebih 30 pemain utama perniagaan Qatar bagi menjelaskan dasar dan hala tuju pelaburan yang boleh dimanfaatkan perusahaan negara Teluk itu di Malaysia.

Baca ini > Malaysia komited gerakkan ikhtiar hentikan serangan di Rafah – PM Anwar