Wednesday, June 26, 2024

Lepasan TVET wajar ditawar dengan gaji permulaan yang tinggi – TPM Zahid

GRADUAN lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) wajar ditawarkan dengan gaji permulaan yang tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, berdasarkan pertemuan beliau dengan pelbagai syarikat antarabangsa, syarikat-syarikat berkenaan komited untuk menawarkan gaji permulaan lebih tinggi kepada lepasan TVET.

“Dalam pertemuan saya bersama beberapa syarikat antarabangsa, mereka maklumkan sanggup bayar gaji minimum lebih RM4,000 (AS$1,000). Ada MoU sudah kita meterai dengan syarikat berkenaan, aspek latihan akan mengikut keperluan syarikat dan kilang terbabit. Ia bagi mengelak ketidakpadanan serta pertindihan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Sambutan Hari TVET Negara dan Pelancaran Dasar TVET Negara 2030 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, semalam.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM200 juta bagi bidang TVET.

Mengulas mengenai peruntukan tersebut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dana berkenaan akan diagihkan mengikut kursus dan institusi berkaitan bagi tujuh bidang yang telah ditetapkan.

“Bidang kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), bahan termaju, teknologi elektronik dengan penumpuan kepada reka bentu litar bersepadu, reka bentuk kejuruteraan. Kita juga mengambil kira tentang mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan penternakan.

“Sebagai permulaan, kita akan bahagikan kepada kursus khusus dan bekerjasama rapat dengan institusi TVET. Menjelang bulan depan, pengambilan (pelajar TVET) sudahpun disenarai pendek sehingga hujung tahun ini dan sekurang-kurangnya 15,000 akan dilatih.

“Jumlah ini ada keseimbangan lelaki dan perempuan walaupun lelaki menguasai 70 peratus bidang TVET. Namun, 70 peratus pelajar tahun pertama di peringkat universiti adalah perempuan.

“Ini menjelaskan TVET bukan khusus kepada lelaki semata-mata, tetapi turut memberi peluang kepada individu yang memilih TVET sebagai pilihan pertama mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan memastikan pelajar TVET turut dilengkapi nilai bagi memupuk ketrampilan dan disiplin sebagai persediaan sebelum menjejak masuk alam kerjaya.

“Kita telah menyusun supaya setiap pengambilan kumpulan pelajar (TVET), kita akan kumpulkan mereka untuk sesi induksi. Nilai ini akan diterapkan sebelum kursus kerana perlu menerapkan sudut pandang kepada pelajar,” katanya.

Baca ini > Pelajar tidak ambil SPM dipelawa ceburi bidang TVET – TPM Zahid