Sunday, May 26, 2024

Majoriti pemain badminton Malaysia bermula baik di Terbuka Thailand

MAJORITI pemain badminton negara termasuk perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia bertindak cemerlang dalam perlawanan pertamanya di Terbuka Thailand selepas melangkah ke pusingan kedua, hari ini dengan menewaskan pemain dari China, Lei Lan Xi dengan ‘straight set’.

Dalam misinya memburu gelaran kedua di kejohanan tersebut, Zii jia bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan 21-17, 23-21 ke atas Lan Xi yang berstatus pemain perseorangan ke-33 dunia pada aksi pusingan pertama di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Pemain ranking ke-10 dunia yang muncul juara pada edisi 2022 itu akan bertemu pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi pemain Taiwan, Su Li Yang dalam pertarungan tiga set 14-21, 21-15, 21-17.

Bekas juara remaja Asia itu akan bertemu pilihan keempat kejohanan dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, esok.

Aksi beregu lelaki pula menyaksikan pasangan negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King terus menyerlahkan potensi mereka untuk turut melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Pasangan ranking ke-64 itu yang muncul naib juara Masters Sepanyol pada Mac lalu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengejutkan beregu ke-21 dunia dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 21-13, 21-16.

Mereka akan menentang beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Turut mara ke pusingan kedua adalah satu lagi beregu lelaki kebangsaan, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian yang menewaskan pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 21-16, 21-11 bagi menempah pertemuan dengan wakil Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga.

Dalam acara beregu campuran, Roy King dan Hon Jian turut melepasi halangan pusingan pertama bersama pasangan masing-masing.

Roy King-Valeree Siow mengatasi wakil Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan 21-19, 21-17 dan akan bertemu bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada pusingan seterusnya.

Hon Jian-Go Pei Kee pula menyingkirkan wakil tuan rumah, Neuaduang Mangkornloi-Atitaya Povanon 21-10, 21-15 dan akan berdepan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dari Indonesia di pusingan kedua.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi perseorangan wanita negara, K Letshanaa apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas di tangan pemain ranking ke-16 dunia dari Thailand, Supanida Katethong 21-12, 21-10.

Kredit: UtusanTV

Baca ini > Akhir SELBATC: Zii Jia tidak dapat diturunkan, Haikal Nazri jadi pemain bidan terjun