Wednesday, June 26, 2024

Malaysia Airlines tambah kekerapan penerbangan KL-Amritsar

MULAI 1 Ogos 2024, Malaysia Airlines Bhd meningkatkan kekerapan penerbangan Kuala Lumpur-Amritsar daripada empat kali kepada tujuh kali seminggu berikutan permintaan perjalanan yang kukuh dan prestasi faktor muatan yang positif terhadap laluan itu.

Dalam kenyataan, katanya peningkatan kekerapan penerbangan dari Amritsar itu akan menambah jumlah penerbangan mingguan Malaysia Airlines di India kepada 71.

Syarikat penerbangan itu berkata keputusan itu adalah berikutan penggandaan kekerapan syarikat penerbangan itu ke Amritsar daripada dua kepada empat kali seminggu pada Januari 2024, menunjukkan keyakinan pasaran yang berkembang pesat.

“Penerbangan ke Amritsar dimulakan pada November 2023, selain Ahmedabad dan Trivandrum sebagai antara tiga laluan baharu India yang diperkenalkan pada tahun berkenaan,” katanya sambil memaklumkan syarikat penerbangan itu baru-baru ini meningkatkan frekuensi di laluan Trivandrum kepada empat kali seminggu berkuat kuasa 3 April 2024.

Malaysia Airlines mempunyai rangkaian luas di India, menawarkan penerbangan daripada sembilan hab utama iaitu New Delhi, Mumbai, Bengaluru, Chennai, Hyderabad, Kochi, Ahmedabad, Amritsar dan Trivandrum.

Berperanan sebagai laluan masuk ke Asia dan di luarnya kepada pengembara India, syarikat penerbangan itu menawarkan sambungan lancar seterusnya ke Australia, New Zealand, Vietnam dan destinasi utama lain di Asia Pasifik, katanya.

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (MAG) Dersenish Aresandiran berkata India kekal sebagai asas strategi perniagaan syarikat penerbangan itu.

“Kami gembira untuk mengukuhkan operasi kami di pasaran dinamik ini dengan meningkatkan lagi kekerapan penerbangan dari Amritsar dengan mengendalikan 71 penerbangan mingguan antara India dan Malaysia.

“Kami kekal teguh untuk menawarkan fleksibiliti yang dipertingkat dan pilihan perjalanan kepada pengembara India, berperanan sebagai laluan masuk ke Asia dan di luarnya,” kata beliau. – BERNAMA

Baca ini > Malaysia Airlines jadi Syarikat Penerbangan Komersial Rasmi Machester United