Sunday, May 26, 2024

Malaysia komited gerakkan ikhtiar hentikan serangan di Rafah – PM Anwar

MALAYSIA akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah dengan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan an Pendidikan.

Komitmen itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu dengan delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh dan mantan pengerusi kumpulan itu, Khaled Mashal.

Pertemuan itu berlangsung di Qatar.

Anwar berkata, Malaysia turut menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan masyarakat antarabangsa.

“Selain menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim zionis, saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.

“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal kerana kekejaman rejim zionis,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, Anwar berkata, Malaysia turut mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.

Baca ini > Misi PM Anwar ke Qatar berjaya buka potensi eksport bernialai RM700 juta