Sunday, May 26, 2024

Misi PM Anwar ke Qatar berjaya buka potensi eksport bernialai RM700 juta

LAWATAN ringkas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Qatar telah berjaya menjana potensi eksport barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM700 juta, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Tengku Zafrul berkata komitmen eksport itu diterima daripada pelbagai pemimpin utama industri Qatar semasa mesyuarat meja bulat perniagaan bersama Perdana Menteri awal hari ini.

“Alhamdulillah, kita terima komitmen (eksport) berjumlah RM700 juta. Ia sekali gus menunjukkan keyakinan syarikat Qatar terhadap produk dan perkhidmatan kita.

“Selain itu, kita juga lihat potensi Asia Barat, yang merupakan satu pasaran besar buat Malaysia yang kita boleh teroka,” kata Tengku Zafrul kepada pemberita selepas majlis jamuan makan malam Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia, di sini, Isnin.

Majlis makan malam yang dihoskan perdana menteri itu dihadiri kira-kira 500 rakyat Malaysia.

Terdahulu hari ini, seramai 45 pemimpin terkemuka industri Qatar daripada 36 syarikat menghadiri mesyuarat meja bulat itu, mewakili sektor seperti makanan dan pemprosesan makanan, farmaseutikal, bahan binaan, hartanah dan pembinaan, pendidikan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan, kewangan, penerbangan, runcit/pengedaran dan ekonomi digital.

Semasa dialog meja bulat itu, Anwar, yang juga menteri kewangan, mengulangi komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Qatar, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.

Beliau juga berkata daya tarikan menarik Malaysia dengan sistem infrastruktur yang kukuh, kedaulatan undang-undang, tenaga kerja mahir dan boleh dilatih, pelaksanaan projek berdisiplin dan ekosistem perniagaan yang rancak menjadikan ia destinasi menarik bagi pelabur yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan strategik mereka bagi pasaran Asia, untuk meraih peluang pertumbuhan baharu dan kepelbagaian.

Mesyuarat meja bulat itu juga dihadiri Menteri Luar Mohamad Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.

Semasa mesyuarat itu, pelabur dan pengimport sedia ada juga menyatakan penghargaan mereka atas usaha Malaysia dalam mewujudkan persekitaran yang memudahkan pelaburan dan pertumbuhan perniagaan.

Perbincangan itu menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Qatar untuk meneroka ruang baharu kerjasama, dengan memanfaatkan sinergi antara kedua-dua ekonomi. – BERNAMA

Baca ini > PM Anwar tiba di Qatar untuk lawatan rasmi dua hari