Wednesday, June 26, 2024

MOTAC gantung lesen syarikat pengendali umrah Pasadana Travel and Tours

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memutuskan untuk menggantung lesen syarikat Pasadana Travel and Tours Sdn. Bhd. (LESEN KPK:9327) selama lapan (8) bulan 12 hari berkuatkuasa mulai 20 April 2024 sehingga 31 Disember 2024.

MOTAC dalam kenyataan memaklumkan, penggantungan lesen syarikat ini adalah selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] di bawah subseksyen 8(1)(b) iaitu pengusaha pelancongan berlesen melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah lesen.

Jelasnya, ini termasuk melanggar mana-mana peruntukan akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak kira bahawa tiada pendakwaan dibawa bagi sesuatu kesalahan berkenaan dengan pelanggaran sedemikian.

“(Selain itu, melanggar) subseksyen 8(1)(d) iaitu telah menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara,” katanya hari ini.

MOTAC berkata, dalam tempoh penggantungan lesen ini, syarikat tidak boleh mengurus niaga apa-apa perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah.

MOTAC turut memaklumkan, dalam tempoh penggantungan ini juga, syarikat tersebut dikehendaki memulangkan semula bayaran dan apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan syarikat.

“Sekiranya didapati syarikat melanggar syarat ini, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan setelah habis tempoh lesen,” ujarnya. – REFLEKS!