Sunday, May 26, 2024

Nilai urusniaga hartanah suku pertama 2024 melonjak 34.3%

PRESTASI pasaran hartanah suku pertama 2024 (S1 2024) terus mengukuh. Bilangan dan nilai transaksi masing-masing menokok 17.2% dan 34.3% kepada 104,297 transaksi bernilai RM56.53 bilion, berbanding 89,024 transaksi bernilai RM42.11 bilion pada S1 2023.

“Sebagai salah satu enjin induk pertumbuhan ekonomi negara, pengukuhan industri harta tanah pada S1 2024 memberi keyakinan bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan kukuh untuk tahun 2024 serta menjayakan transformasi negara seperti ditetapkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Kerajaan berharap perancangan ekonomi yang mengimbangkan projek-projek pemangkin dengan pembangunan inklusif akan mendorong perkembangan pasaran harta tanah bagi jangka panjang,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak pula berkata, pengukuhan pasaran harta tanah pada S1 2024 didorong oleh peningkatan ketara transaksi di semua subsektor, terutamanya subsektor komersial (51.5%) dan pertanian (64.2%).

“Sokongan berterusan kerajaan seperti pemanjangan tempoh pengecualian duti setem dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah sehinggaDisember 2025 menjadi pemangkin pasaran harta tanah yang lebih kukuh,” ulas beliau.

Antara intipati lain daripada prestasi pasaran harta tanah S1 2024 adalah:

  • Dari segi subsektor, harta tanah komersial mencatat pertumbuhan aktiviti paling kukuh sebanyak 33.4%. Ini diikuti dengan kediaman (16.6%), pertanian (13.7%) dan tanah pembangunan (10.7%).
  • Kediaman siap dibina tidak terjual (overhang) merekodkan penurunan pada S1 2024 kepada 24,208 unit bernilai RM16.49 bilion daripada 25,816 unit overhang yang bernilai RM17.68 bilion pada S4 2023.
  • Pelancaran baharu kediaman meningkat 19.8% kepada 5,585 unit dengan prestasi jualan 20.0%, berbanding S1 2023 yang merekodkan 4,661 unit.
  • Data awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada S1 2024 berada pada paras 216.9 mata (RM467,997 seunit) dengan pertumbuhan tahunan pada kadar 0.5%. Semua negeri menyaksikan pertumbuhan positif sederhana antara 0.5% hingga 4.6% kecuali Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Sarawak.

Abdul Razak berkata, prestasi pasaran harta tanah bertambah baik. Namun, masih ada risiko cabaran ekonomi global dan persekitaran luaran yang sukar diramal.

Kerajaan MADANI telah memperkenalkan beberapa ikhtiar serta projek pemangkin untuk memacu ekonomi tempatan dan sekaligus merangsangkan pengembangan pasaran harta tanah.

Ini termasuk menambahbaik fleksibiliti syarat-syarat permohonan bagi program Malaysia My Second

Home (MM2H), membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan mewujudkan Zon Kewangan Khas di Forest City.

Juga menyokong permintaan harta tanah adalah perkembangan positif pembangunan seperti projek Rapid Transit Link (RTS) di Johor, projek perindustrian utama di wilayah utara, projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Untuk mendapatkan Laporan Pasaran Harta dan semua penerbitan lain, sila layari portal rasmi NAPIC di https://napic2.jpph.gov.my.

Kredit: Suara Merdeka

Baca ini > Bank Rakyat kembali anjur Karnival Rumah Impian bermula hari ini, galak pemilikan rumah pertama