Wednesday, June 26, 2024

Padang SNBJ sedia terima cabaran Harimau Malaya-Taiwan

PERMUKAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Taiwan, 11 Jun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman berkata badan induk itu berpuas hati dengan tahap keadaan gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu selepas kualiti permukaan padangnya mendapat kritikan beberapa kali sebelum ini.

Katanya aspek keselamatan di SNBJ turut dititikberatkan sambil beliau menjangkakan kehadiran penonton yang ramai pada pertembungan itu nanti.

“Setakat ini padang SNBJ amat memuaskan dan kita amat puas hati. Kita lihat stadium cukup bersedia dan sudah mengadakan mesyuarat LOC (Jawatankuasa Pengelolaan) dan Jawatankuasa Keselamatan bagi memastikan keselamatan terjaga,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau turut berharap penyokong dapat membanjiri SNBJ untuk memberikan sokongan pada skuad negara kendalian Kim Pan Gon yang terlebih dahulu menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini sebelum mmenentang Taiwan, lima hari kemudian.

Sementara itu, Noor Azman berkata FAM berusaha mendapatkan aksi persahabatan antarabangsa untuk pasukan negara sebagai persediaan bertemu Kyrgyzstan dan Taiwan, namun menemui jalan buntu.

Beliau berkata antara pasukan yang dihubungi ialah Vietnam dan Brunei.

Menurutnya, situasi itu memaksa pasukan negara hanya akan bermain sekurangkurangnya satu aksi pemanas badan menentang kelab tempatan sebelum menentang Kyrgyzstan di Bishkek.

“Dari aspek ketua jurulatih (Pan Gon), beliau pun amat berpuas hati (situasi semasa),” katanya.

Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di posisi ketiga Kumpulan D dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu, berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa mata. — BERNAMA

Baca ini > Hannah jelas punca Malaysia, Oman tak dibenar berlatih di SNBJ