Wednesday, June 26, 2024

PATKOR OPTIMA perkukuh kedaulatan perairan sempadan

MALAYSIA dan Republik Indonesia melalui agensi – agensi penguatkuasaan negara masing-masing sekali lagi bergabung melaksanakan Operasi Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA) yang diadakan bermula 4 Jun hingga 13 Jun nanti.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang juga Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, operasi bersepadu yang memasuki siri ke 31 ini merupakan operasi dwi-tahunan yang diadakan secara kolaboratif dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka yang merupakan laluan utama industri perkapalan dunia.

Katanya lagi, kerjasama serta kefahaman penguatkuasaan undang-undang di antara penguat kuasa dari kedua-dua buah negara amat penting demi memastikan masyarakat Malaysia dan Republik Indonesia sentiasa bekerjasama dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

“Salah laku jenayah seperti penyeludupan migran, penyeludupan dadah dan kontraban serta isu pencerobohan bot nelayan merupakan kegiatan jenayah yang lazim berlaku di Selat Melaka.

Justeru koordinasi operasi menerusi PATKOR OPTIMA ini amat diperlukan agar kesejahteraan perairan kedua-dua negara sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram dan selamat,” ujar Mohd Zawawi.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian PATKOR OPTIMA 31A/2024 secara bersama dengan Direktur Operasi Laut, Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) merangkap TPOM PATKOR OPTIMA Republik Indonesia, Laksamana Pertama BAKAMLA Basri Mustari di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi menyatakan PATKOR OPTIMA penting dalam meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat awam terutamanya komuniti maritim serta komuniti perdagangan perkapalan bahawa perairan Selat Melaka sentiasa dalam keadaan selamat dan aman.

Selain Maritim Malaysia, PATKOR OPTIMA 31A/2024 turut melibatkan agensi lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Laut Malaysia (JPM) , Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara di pihak Republik Indonesia, agensi penguat kuasa lain yang turut serta bersama BAKAMLA ialah Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), Polis Republik Indonesia (POLRI), Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP), Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP), Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta Direktorat Jenderal Imigrasi (IMIGRASI).

Untuk rekod pelaksanaan PATKOR OPTIMA pada tahun lalu telah mencatatkan sebanyak 85 tangkapan di Malaysia melibatkan pelbagai kesalahan, manakala Republik Indonesia pula merekodkan 176 pemeriksaan di laut. – REFLEKS!

Baca ini > Maritim Malaysia anjur cabaran ‘Berapung Untuk Hidup’ sempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim