Thursday, July 25, 2024

Pejuang Houthi serang kapal di pelabuhan Haifa, Utara Israel

KUMPULAN berpangkalan di Yaman, Houthi di Yaman memaklumkan pihaknya menyertai operasi ketenteraan dengan kumpulan pejuang Islamic Resistance di Iraq awal pagi tadi, menyasarkan empat kapal di pelabuhan Haifa di utara Israel.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, dalam satu kenyataan di televisyen, berkata kedua-dua kumpulan itu melancarkan serangan dron ke atas dua kapal tangki simen dan dua kapal kargo di pelabuhan Haifa pada Sabtu.

Beliau berkata, kapal itu milik syarikat yang ‘melanggar larangan memasuki pelabuhan Palestin yang didudukinya’.

Sehingga kini, tentera Israel belum memberi maklum balas segera, walaupun awal bulan ini menafikan dakwaan sama oleh Houthi.

Menurut Saree lagi, Houthi menyerang Express Shorthorn di Mediterranean menggunakan dron sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan itu untuk mengganggu perkapalan di laluan laut utama, sebagai solidariti dengan rakyat Palestin dalam perang di Gaza.

“Kedua-dua operasi itu berjaya mencapai objektif dan serangan itu kena tepat pada sasaran,” katanya.

Tiada pengesahan mengenai serangan terbabit dan Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.

Houthi yang bersekutu dengan Iran, pertama kali melancarkan serangan dron dan peluru berpandu di laluan perkapalan itu pada November.

Dalam berpuluh-puluh serangan, mereka sudah menenggelamkan dua kapal, merampas sebuah lagi dan membunuh sekurang-kurangnya tiga kelasi. – REUTERS

Baca ini > Harga minyak dunia melonjak kerana konflik Iran-Israel