Thursday, July 25, 2024

Pengujung menginap di Perak bakal dikenakan caj GPT berjumlah RM3 mulai 2025

KERAJAAN Negeri Perak bakal mengenakan bayaran tambahan berjumlah RM3 untuk Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) bagi pengunjung yang menginap di Perak bermula 1 Jan 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata caj baharu itu tertakluk kepada bilik penginapan berbayar untuk setiap malam selain termaktub di bawah Enakmen Hotel 2023 yang diluluskan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tahun lepas.

Beliau berkata bagaimanapun caj seumpama itu telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan.

“Tarikh kuat kuasa pelaksanaan bayaran ini ditangguhkan ke 1 Jan 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini,” katanya pada sidang media berkenaan perkara itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Halizah Sipun.

Sandrea berkata caj yang dikenakan terhadap para pengunjung itu merupakan inisiatif tambahan yang dilihat berpotensi membantu kerajaan negeri meningkatkan mutu perkhidmatan khususnya di pelbagai lokasi pelancongan di Perak.

Selain itu, beliau berkata pelaksanaan penyeragaman Lesen Hotel di bawah Enakmen Hotel 2023 ditetapkan bermula 1 Julai depan yang menghendaki setiap pengusaha hotel, rumah rehat, chalet, inap desa, rumah bot dan sebagainya mendapatkan lesen berkenaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum mengenakan caj CPT kepada pelancong.

“Bagi memberikan tempoh yang mencukupi untuk sesi libat urus dan pendidikan kepada kumpulan sasar, kerajaan bersetuju untuk memberikan tempoh pemutihan selama setahun sehingga 30 Jun 2025.

“Dalam tempoh ini kita hanya berikan nasihat kepada mereka dan tiada tindakan kompaun dikenakan ke atas pengusaha yang belum mendaftar dan memohon,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap semua pengusaha premis penginapan segera mengemukakan permohonan dan lesen daripada PBT di kawasan masing-masing bagi melancarkan pengoperasian perusahaan yang dijalankan.

Meskipun penguatkuasaan lesen tersebut ditangguh, peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam enakmen berkenaan tetap perlu dipatuhi, tambah beliau. – BERNAMA

Baca ini > Perak Bike Week bakal memeriahkan lagi perasmian TMP 2024