Sunday, May 26, 2024

Perbicaraan kes pegawai kanan polis didakwa membunuh seorang murid Tingkatan Lima bermula 4 November

MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 30 hari untuk perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang murid Tingkatan Lima pada Disember tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, menetapkan tarikh perbicaraan itu bermula 4 November 2024 hingga 17 Januari 2025 seperti dilaporkan Astro Awani.

Pecahan tarikh yang ditetapkan bagi perbicaraan itu adalah pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November; 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari 2025.

Terdahulu, tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP), Mohd Nazri Abdul Razak, 45, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan 1 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk semua pihak menyerahkan afidavit masing-masing.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa telah menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said dan Nasrul Hadi Abdul Ghani.

Sementara tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan M. Kuhan.

Hadir sama peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, Yasmin Khalid dan Amira Najwafitri Amir Arif.

Selain itu, mahkamah juga dimaklumkan pihak pendakwaan telah mengenal pasti kira-kira 60 saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan nanti.

Baca ini >