Thursday, July 25, 2024

Seleweng Kutipan Derma: Suami Isteri Pempengaruh Direman, Dibawa Ke Mahkamah Esok

Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang dikatakan terbabit isu menyeleweng kutipan derma ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, pasangan tersebut telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 6.40 petang pada Rabu.

“Ia berhubung siasatan kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.

“Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya jam 9 pagi esok (Khamis) untuk permohonan reman,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi oleh Sinar Harian, mengesahkan bahawa pasangan tersebut akan direman untuk siasatan lanjut.

Sejak beberapa hari lalu, timbul persoalan di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen yang tinggi daripada kutipan derma orang ramai.

Selain itu, pasangan tersebut juga didakwa hidup dalam kemewahan, yang menimbulkan pelbagai tanda tanya dalamw kalangan warga maya.

Berikutan dakwaan tersebut, pasangan itu telah tampil dan menafikan semua tuduhan penyelewengan dan pecah amanah.