Thursday, July 25, 2024

Senai Airport City berjaya tarik RM7.5 bilion pelaburan – MB

JOHOR BAHRU – Senai Airport City di Kulai berjaya menarik pelaburan berjumlah RM7.5 bilion sejak mula dibuka hampir 10 tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak 150 syarikat besar dan antarabangsa sudah melabur yang memberikan 28,000 peluang pekerjaan.

“Beberapa syarikat besar seperti Hershey, Mercedes-Benz, DHL, Dyson, FedEx, Haitian, Fiffy, Supermicro dan banyak lagi melabur di Senai Airport City.

“Semua ini membuktikan Johor mampu menarik kehadiran pelabur dengan peningkatan peluang pekerjaan serta gaji yang kompetitif menanti Bangsa Johor,” kata beliau dalam hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya hari ini.

Menteri Besar Johor itu berkata, perkembangan tersebut akan meningkatkan sosio konomi masyarakat setempat selain berupaya merangsang aktiviti ekonomi yang mampan untuk negeri ini.

Menurutnya, salah sebuah syarikat yang berjaya di Senai Airport City adalah Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn Bhd apabila berjaya mencatat keuntungan berjumlah AS$7.8 bilion pada 2023.

“Wiwynn merupakan sebuah syarikat penyedia infrastruktur Teknologi Maklumat (IT) awan dan kawasan syarikat Wiwynn ini berkeluasan 12 hektar dan telah membangunkan dua fasa.

“Fasa satu ialah kilang penyepaduan rak pelayan dan fasa dua yang kini sedang dalam 81 peratus fasa pembinaan ialah kilang pemasangan papan litar bercetak (PCBA) pelayan,” ujarnya.

Beliau bersyukur kerana sebanyak 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn Bhd menjelang akhir tahun ini dengan hampir 80 peratus pekerja adalah warga tempatan terutamanya dari Johor.

“Itu yang dikongsi oleh pihak Wiwynn semasa sesi lawatan saya ke kilang mereka di Senai Airport City,” katanya.