Thursday, July 25, 2024

Termakan keropok mengandungi racun tikus: Abang meninggal dunia

GEORGE TOWN – Salah seorang daripada dua adik beradik yang kritikal selepas termakan keropok yang disyaki mengandungi racun tikus meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pagi tadi.

Memetik laporan Sinara Harian, berita duka itu disahkan ibunya, Nurain Hasnorizal, 25.

Nurain berkata, anak sulungnya, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.40 pagi.

“Betul, anak saya sudah meninggal dunia.

“Sekarang saya tengah tunggu proses bedah siasat,” katanya sebak.

Sebelum ini, media melaporkan, dua beradik Muhammad Akil dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2 dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Kedua-dua mangsa dipercayai mengambil satu peket keropok mengandungi racun tikus yang digantungkan pada dawai besi di sekeliling pagar kebun berdekatan, dipercayai digunakan untuk memerangkap monyet.