Thursday, July 25, 2024

Tersentuh Dan Menangis, Lewis Hamilton Raih Kemenangan Penuh Emosi

SILVERSTONE, England: Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton meraih kemenangan ke-104 yang penuh emosi dan dinanti-nantikan apabila mengatasi Max Verstappen bagi menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Britain, awal pagi tadi.

Juara dunia tujuh kali itu yang akan mencecah usia 40 tahun pada Januari depan, tersentuh dan menangis ketika bercakap melalui radio pasukan pada pusingan terakhir, selepas menamatkan perlumbaan 1.465 saat di depan Verstappen yang juga juara dunia tiga kali.

Pada perlumbaan yang berlangsung dengan keadaan cuaca dan litar yang tidak menentu itu, Lando Norris menamatkan saingan di tempat ketiga, di depan rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri, Carlos Sainz dari Ferrari dan Nico Hulkenberg dari Haas manakala pemandu Aston Martin, Lance Stroll berada di tempat ketujuh.

Hamilton yang tidak memenangi sebarang perlumbaan sejak GP Arab Saudi pada 2021 membuktikan kehebatannya dalam menguruskan tayar dan perlumbaan bagi menghadiahkan podium ke-150 buat Mercedes.

“Saya sudah menunggu terlalu lama untuk menikmati detik ini,” jerit Hamilton selepas melintasi garisan penamat untuk meraih kejuaraan kesembilan di Silverstone, mengatasi rekod Michael Schumacher bagi kemenangan terbanyak di satu litar.

“Saya tidak boleh berhenti menangis,” kata Hamilton.

“Saya rasa sejak 2021, setiap hari saya bangun, cuba berjuang dan berlatih serta memberikan fokus kepada tugas bersama pasukan yang hebat ini.”

Hamilton akan meninggalkan Mercedes untuk bersama Ferrari selepas berakhir musim ini.

“Ini adalah GP Britain terakhir saya bersama pasukan ini. Saya terlalu mahu memberikan kemenangan untuk mereka. Saya amat menyayangi mereka. Semua kerja keras yang mereka lakukan.” – AFP