Wednesday, June 26, 2024

Tiada gerakan baharu Syiah, Ahmadiah dikesan di Johor

JOHOR BAHRU: Tiada sebarang kegiatan baharu ajaran sesat membabitkan Syiah mahu pun Ahmadiah, dikesan di Ulu Tiram atau negeri ini, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata ia hasil pemantauan dan risikan berterusan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Hasil semakan lanjut, kita dapati tiada gerakan (baharu) aktiviti ajaran sesat di Ulu Tiram dan negeri ini, setakat ini.

“Sehingga kini, tiada laporan berkenaan ajaran (sesat) termasuk ajaran terkini, Ahmadiah itu pun nampaknya sangat terkawal pada waktu ini.

“Bagaimanapun, saya menggesa masyarakat supaya segera buat laporan kepada pihak berkuasa terutama JAINJ, sekiranya timbul keraguan pada amalan ibadah yang diajarkan atau disampaikan mana-mana pihak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah, di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Datuk Abdul Rahman Salleh.

Pada 2017, JAINJ dilaporkan menahan 21 lelaki berusia antara 21 hingga 67 tahun di sebuah rumah di Ulu Tiram, selepas disyaki mengadakan majlis yang berkaitan dengan fahaman Syiah.

Semua mereka termasuk tiga lelaki warga asing, dilaporkan ditahan di lokasi yang didakwa Hauzah Syiah (rumah ibadat Syiah) Ulu Tiram, disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Mac lalu pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, dilaporkan berkata ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace atau Qadiani, dilaporkan bertentangan dengan syariat Islam.

Ditanya jika orang awam yang mahu membuat aduan mengenai kegiatan ajaran sesat namun bimbang berbuat demikian, Mohd Fared berkata, pelbagai kaedah laporan boleh dibuat orang ramai kepada JAINJ atau pihak berkuasa.

“Jika orang awam tidak mahu membuat aduan rasmi kepada JAINJ, mereka boleh menggunakan saluran mana-mana media sosial untuk berbuat demikian sama ada menerusi posting video atau di bahagian komen media sosial pihak berkuasa.

“Jika ada aduan, posting atau video di media sosial sekali pun, JAINJ akan buat siasatan bagi memudahkan masyarakat,” katanya.