Saturday, July 27, 2024

AMAL X Siti Khadijah, dengan kerjasama TH santuni jemaah haji penerbangan KT05

PENGELUAR pembuatan kelengkapan pakaian solat, Siti Khadijah jalin kerjasama dengan Amal by Malaysia Airlines mengagihkan barangan rangkaian Siti Khadijah dan kit perjalanan Amal (Travel kit) kepada 284 jemaah Haji KT05 di Dewan Mentari, Movenpick disini pada Jumaat.

Barangan sumbangan yang berupa kelengkapan dan keperluan ibadah Haji itu sebagai tanda buah tangan kepada para Jemaah KT05, iaitu kumpulan pertama yang menaiki Amal by Malaysia Airlines yang melalui proses daftar masuk di Kompleks Tabung Haji Sepang untuk penerbangan terus ke Madinah.

Antara barisan pengurusan tertinggi Amal by Malaysia Airlines (AMAL) bersama Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd (Siti Khadijah) dengan kerjasama pihak Lembaga Tabung Haji (TH) pada Majlis Pelepasan Jemaah penerbangan KT05 yang bertolak ke Tanah Suci di Hotel Movenpick, Sepang

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Muhaimin Aminuddin menjelaskan kerjasama bersama Amal bakal membuka ruang dan peluang Siti Khadijah dalam membantu meningkatkan keselesaan Jemaah Haji dan Umrah khususnya.

“Perancangan dan usaha untuk bekerjasama bersama Amal mengambil masa lebih daripada setahun dan Alhamdulillah hari ini kami dapat peluang untuk sama-sama meraikan jemaah Haji. Kami mahu memberikan keselesaan kepada jemaah Haji dan Umrah dalam mengerjakan ibadah.

Pengasas Jenama Telekung Siti Khadijah, Puan Padzilah Enda Sulaiman dan wakil dari AMAL menyampaikan beg hadiah istimewa AMAL X Siti Khadijah kepada salah seorang jemaah haji penerbangan KT05.

“Apa yang istimewa, kami sumbangkan barangan Siti Khadijah bernilai RM200 yang berupa barangan kelengkapan solat untuk lelaki dan wanita sewaktu di Tanah Suci nanti,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, kerjasama ini diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih besar di masa akan datang.

Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor ketika ditemui berkata,  jalinan kerjasama antara Amal dan Siti Khadijah amat bermakna kerana kedua-dua pihak mempunyai visi dan nilai yang sama iaitu memberi keselesaan dan kemudahan kepada jemaah beribadah dan juga untuk menarik lebih ramai menunaikan Umrah dan Haji.

Sementara itu, semua penerbangan Amal ke Tanah Suci adalah termasuk penyediaan perkhidmatan seperti talbiah, doa musafir, azan dan tazkirah serta pengumuman miqat.

Turut menyerikan majlis, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengasas Jenama Telekung Siti Khadijah, Puan Padzilah Enda Sulaiman.

Beg hadiah istimewa AMAL X Siti Khadijah yang mengandungi rangkaian barangan Siti Khadijah dan ‘Amal Travel Kit’ untuk perjalanan dan keperluan ibadah Haji.

Jenama Siti Khadijah juga bakal memberi fokus kepada barangan lelaki dengan misi menyediakan kelengkapan solat dan pakaian harian yang selesa.

Perancangan Siti Khadijah pada tahun ini ialah untuk kembangkan kepada barangan lelaki seperti kain pelikat, jubah, kurta dan kopiah. Malah setiap barangan terdiri daripada pelbagai jenis dan harga mengikut kualiti dan premium. – REFLEKS!

Baca ini > Siti Khadijah lancar koleksi ‘Raya In Vougue’