Sunday, May 26, 2024

Andalusia, AMAL jalin kerjasama strategik untuk musim umrah 1446H

SEBANYAK 30,000 tempat duduk penerbangan tersedia bagi jemaah umrah yang memilih pakej umrah bersama Andalusia Travel and Tours (Andalusia) bagi musim umrah tahun 1446H (2024/2025).

Ketersediaan tempat duduk itu susulan pengendali haji dan umrah itu menandatangani kontrak bernilai RM100 juta melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan AMAL by Malaysian Airlines (AMAL) hari ini.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, berkata, MoU kali ini memeterai kontrak 77 penerbangan kapal penuh FBS dengan kapasiti 283 tempat duduk dan 76 penerbangan SBS dengan 90 tempat duduk setiap kapal.

Katanya, tiket penerbangan itu adalah untuk pakej ibadah umrah bagi pelepasan yang bermula 21 Julai ini sehingga Mei tahun depan.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU bersama AMAL di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi AMAL, Muhammad Najmi Mansor, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.

Menurut Ida Riswana, ini kali ke-11, memorandum seumpama itu ditandatangani dan pada musim umrah yang lalu, Andalusia berjaya menerbangkan 23,479 jemaah bersama AMAL, Penerbangan Malaysia.

“Kami akui, kerjasama antara Andalusia dan AMAL sangat baik. Dari awal perbincangan, proses tempahan tiket penerbangan sehinggalah jemaah pulang ke tanah air semuanya berjalan lancar.

“Malah, kru AMAL juga tanpa lelah menyantuni jemaah umrah. Inilah faktor ramai jemaah memilih pakej umrah dengan AMAL kerana mereka yakin dan selesa sewaktu pergi dan balik dari mengerjakan umrah,” katanya.

Menurut Ida Riswana, dari sudut prinsip Andalusia, pihak syarikat tidak boleh untuk menjual apa-apa ‘barangan’ selagi barangan itu tiada.

Justeru Andalusia akan terus melebarkan pasaran ke seluruh negara bagi menyedarkan orang ramai bahawa penting untuk berurusan dengan syarikat yang boleh menjamin pakej yang ditawarkan mempunyai tempat duduk untuk jemaah.

Dalam pada itu, Ida Riswana berkata, jemaah umrah memilih melanggan pakej dengan penerbangan AMAL kerana yakin dan ingin selesa sewaktu pergi dan kembali dari mengerjakan umrah.

“Penggunaan bahasa ibunda yang sama dan ada sajian makanan yang kita semua sangat rindu dalam penerbangan AMAL,” katanya.

Beliau juga menarik perhatian sepanjang tempoh hampir sembilan tahun bersama Malaysia Airlines dan kemudiannya di dalam tahun 2017, AMAL, Andalusia telah mencapai hasrat menyantuni ratusan ribu tetamu Allah saban tahun, dengan harga pakej umrah mampu milik dan tetap mengekalkan perkhidmatan penerbangan bertaraf antarabangsa.

“Melalui peluang kerjasama bersama AMAL sejak tahun 2015, Andalusia dapat merealisasikan salah satu dari ‘amal’ kami iaitu membuka peluang kepada ribuan umat Islam di Malaysia yang kurang bernasib baik untuk menjejakkan kaki di bumi Makkah al Mukarramah melalui program CSR Andalusia,” katanya.

Terkini Pada 19 hingga 30 April lalu, melalui penerbangan AMAL, seramai 30 orang cacat penglihatan daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) melakukan umrah di mana ibadah tawaf mereka menarik perhatian masyarakat.

“Satu dunia berasa insaf menyaksikan 30 orang jemaah cacat penglihatan daripada Pertis melakukan ibadah tawaf,” jelasnya.

Baca ini > Bank Islam, Andalusia tawar kemudahan tunai haji, umrah