Wednesday, July 3, 2024

Bank Rakyat lulus RM3.8 juta permohonan program pembiayaan BRIEF-i

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya, Bank Rakyat meluluskan 43 permohonan program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) bernilai RM3.8 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, setakat 27 Jun 2024, BRIEF-i telah merekodkan melebihi 1,000 pertanyaan atau inquiries daripada usahawan di seluruh negara.

Daripada jumlah ini, sebanyak 135 permohonan sedang diproses melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.7 juta. Bank Rakyat juga telah meluluskan sebanyak 43 permohonan yang berjumlah RM3.8 juta dengan sasaran jumlah kelulusan sebanyak RM4.0 juta,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i.

Tambah beliau, kerjasama antara Kerajaan dengan institusi kewangan seperti Bank Rakyat adalah amat signifikan dalam membantu para usahawan mencapai matlamat perniagaan mereka. Dalam usaha untuk membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan dinamik, perhatian khusus harus diberikan kepada setiap lapisan masyarakat.

“Dengan adanya program pembiayaan seperti BRIEF-i, Kerajaan dapat memastikan bahawa lebih ramai usahawan India mampu mengakses dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka, sekali gus memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Seperti yang kita sedia maklum, BRIEF-i menawarkan pembiayaan yang patuh Syariah dengan kadar keuntungan yang kompetitif dan syarat yang fleksibel. Ini adalah satu langkah progresif yang akan memberikan manfaat besar kepada usahawan India.

Program BRIEF-i adalah contoh terbaik bagaimana kita dapat menyokong keusahawanan dalam kalangan komuniti minoriti, selaras dengan aspirasi negara serta mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak merakamkan penghargaan kepada pelanggan Bank Rakyat atas keyakinan dan sokongan yang diberikan terhadap perkhidmatan, produk perbankan serta kempen yang dianjurkan oleh Bank berkenaan selama 70 tahun beroperasi, yang mana membolehkan ia terus memenuhi mandat dan fokus utamanya demi kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Madani.

“Menjadi harapan Bank Rakyat agar menerusi program BRIEF-i ini dapat membantu usahawan untuk berinovatif selain dapat mengakses dan meneroka peluang perniagaan era digital, seterusnya membantu memacu pemecutan pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan ke arah pembangunan sosioekonomi negara yang lebih progresif dan inklusif,” ujar Mohd Irwan.

Bank Rakyat memperuntukkan RM50 juta menerusi BRIEF-i khusus untuk komuniti usahawan India yang menjalankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi penyediaan modal kerja dan perbelanjaan modal untuk membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan.

Untuk memohon dan mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Bank Rakyat dan QR2E (Quick Response to Entrepreneurs) di www.bankrakyat.com.my dan https://qr2e.bankrakyat.com.my serta mengunjungi mana-mana Pusat Perbankan Perniagaan Bank Rakyat. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat peruntuk RM50 juta menerusi program pembiayaan bagi komuniti usahawan India