Wednesday, July 3, 2024

CBP umum 6.5% dividen bagi tahun kewangan 2023

CO-OPBANK Pertama Malaysia Berhad (CBP) hari ini mengumumkan kadar dividen bagi Syer Biasa adalah sebanyak 6.50% dan Syer Keutamaan (iRCPS) sebanyak 6.78% bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2023.

Pembayaran dividen telah dilakukan sebaik sahaja tamatnya Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) yang diadakah pada 30 Jun 2024 dan para anggota boleh membuat semakan akaun simpanan melalui aplikasi HELOCBP.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar dalam satu kenyataan berkata, pengumuman kadar dividen bersih bagi tahun 2023 ini melibatkan agihan peruntukan sebanyak RM63.97 juta yang akan memberi manfaat kepada 93,798 anggota CBP dan pemegang syer yang layak.

“Dengan prestasi yang cemerlang ini, CBP berada di landasan yang tepat seperti Pelan Perancangan Strategik 5 Tahun 2022–26 dan CBP dalam perancangan untuk menerbitkan sukuk bagi menyokong pertumbuhan dan pengembangan perniagaan yang pesat.”

Tambah Khairil Anuar lagi, “Perancangan CBP pada peringkat seterusnya dalam pelan strategik adalah untuk memberi tumpuan kepada pertumbuhan bukan organik dan pengembangan dalam perkhidmatan digital.”

Dalam masa yang sama atas permintaan yang tinggi, langganan syer CBP bagi penambahan atau permohonan baharu kini dibuka semula kepada semua yang layak (maksimum RM5 juta bagi individu dan 20% dari jumlah syer CBP bagi koperasi) bermula 1 Julai 2024 sehingga 31 Disember 2024.

“Selain daripada itu CBP juga turut dalam perancangan bagi membuka semula bagi langganan Syer Keutamaan (iRCPS) seperti sebelum ini sebahagian daripada pelan pengurusan modal CBP,” jelasnya. – REFLEKS!

Baca ini > CBP umum dividen 3.60% untuk Akaun Deposit Koperasi, Kumpulan Wang Rizab Statutori 2023