Saturday, July 27, 2024

Faisal Halim ditempatkan ke wad biasa, teringin makan nasi kandar

KEADAAN pemain bola sepak kebangsaan dan juga Selangor FC, Faisal Hali yang diserang asid baru-baru ini bertambah baik dengan percakapannya makin jelas, sehingga menyatakan teringin makan nasi kandar.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, anak jati Pulau Pinang itu juga telah dikeluarkan daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dipindahkan ke wad biasa hari ini untuk mendapat rawatan susulan.

Katanya, Faisal terus menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani beberapa siri pembedahan dan terus kuat untuk kembali sembuh agar dapat kembali melakukan rutin seperti sedia kala.

Shahril dalam sidang media hari ini berkata, percakapan Faisal kini semakin jelas untuk didengari dan difahami ketika menghantar mesej melalui nota suara.

“Saya baru nak pergi tengok Faisal tapi saya difahamkan, saya pun hampir setiap hari ada menghantar nota suara kepada Faisal, percakapannya semakin jelas, itu yang penting,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hospital di Shah Alam hari ini.

Selain itu juga, selera makan Faisal turut semakin bertambah dengan terkini pemain berusia 26 tahun itu sedang membiasakan diri dengan diet biasa selain turut menyampaikan hasrat untuk menikmati nasi kandar nanti.

“Yang keduanya, selera makannya dah bertambah, bukan hanya diet ringan tapi juga boleh makan diet biasa. Saya dengar (Faisal) pun dah teringin nak makan nasi kandar,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi bahawa persiapan pasukan Selangor FC kini dalam tahap terbaik dan moral para pemain tidak terjejas menjelang aksi Liga Super kedua berdepan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu ini.

Baca ini > Lelaki simbah asid pada Faisal Halim berjaya ditahan oleh pihak polis