Saturday, July 27, 2024

Hasil siasatan kes anak Menteri Besar Perlis minggu depan

HASIL siasatan berkaitan kes dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan anak kepada Menteri Besar Perlis serta beberapa individu lain dijangka diperolehi minggu hadapan.

Memetik laporan Sinar Harian Online, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman memaklumkan kertas siasatan kes tersebut sedang dilengkapkan.

Menurut Azmi, hasil siasatan itu mungkin dilengkapkan selewat-lewatnya Rabu depan.

“SPRM sedang lengkapkan siasatan, saya harap akan ada keputusan (hasil siasatan) minggu depan, mungkin selewat-lewatnya pada Rabu depan,” katanya.

Pada 26 April lalu, anak Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes pemalsuan dokumen untuk membuat tuntutan palsu dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Ia bagi membantu siasatan dalam kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Kesemua suspek dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Sebelum itu, SPRM menahan enam individu dipercayai terlibat dengan kes tersebut, ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

Kesemua suspek ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Sementara itu, Azmi turut menyangkal dakwaan yang tular kononnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis akan ditahan SPRM dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini, dakwaan tersebut tidak betul,” katanya.

Azmi turut menafikan sekumpulan anggota SPRM Putrajaya berada di Perlis sejak beberapa hari lalu selepas mendapat maklumat baharu berhubung kes berkenaan.

Baca ini > SPRM siasat anak bekas Perdana Menteri