Saturday, July 27, 2024

Hubungan sudah berakhir, Hisyam akui bukan lagi suami Melrose

SELEPAS hampir 20 tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Hisyam Hamid mengakui hubungannya dengan Rosmawati Hanafi atau Melrose sudah berakhir.

Enggan terus membuat spekulasi, bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui mereka kini selesa menjalin hubungan yang baik demi anak-anak.

Hisyam juga enggan mendedahkan punca perpisahan dan tarikh bilakah ia berlaku.

“Saya tidak mahu oleh kerana satu detik hitam yang berlaku antara kami memusnahkan hubungan ini.

“Buat masa ini kami rasa jalan yang terbaik adalah untuk kami tidak lagi menjadi suami isteri.

“Kami hanya mahu fokus ke depan. Masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri. Apa paling penting, kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya,” katanya.

Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, di sini.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Ariana Rose itu berkata, sehingga kini Mel masih kekal sebagai pengurusnya dan mereka juga tetap berkomunikasi dengan baik setiap hari.

“Tidak ada yang salah atau negatif untuk kami teruskan demi anak-anak.

“Apa yang berlaku sudahpun berlaku. Buat masa ini kami selesa berkawan baik, lebih dari itu saya tidak pasti, biarlah masa yang akan menentukan.

“Dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.

“Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu sangat saya hargai dan hormat dia,” katanya.

Ditanya tindakannya yang seolah-olah berdolak dalik mengenai status hubungannya, Hisyam berkata dia tidak mahu berita berkenaan menjejaskan emosi anak-anaknya.

“Sejak dulu, apa sahaja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak saya, saya mahu beri contoh terbaik kepada mereka.

“Begitu jugalah dengan hal ini apabila ditanya, saya tidak mahu pada akhirnya berita itu memberi kesan buat mereka atau mereka tahu dari sumber lain,” katanya.

Terdahulu, Oktober tahun lalu, Hisyam pernah menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia dan isteri sudah bercerai.

Hisyam berkata, dia mengambil pendekatan untuk menjaga nilai eksklusiviti dengan tidak terlalu berkongsi kisah peribadi di media sosial.

Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati pada 2006.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15 tahun.

Kredit > Max-Infos.com