Saturday, July 27, 2024

JAPEN umum lantikan Juliana Johan sebagai Ketua Pengarah Penerangan baharu

JABATAN Penerangan Malaysia (JAPEN) sukacitanya mengumumkan perlantikan Julina binti Johan sebagai Ketua Pengarah Penerangan, JAPEN berkuat kuasa hari ini dalam satu kenyataan.

Pemegang Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat daripada Universiti Putra Malaysia ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang perhubungan awam kerajaan dan komunikasi strategik, telah memulakan karier sebagai penjawat awam pada tahun 1996.

Dilahirkan di Johor, beliau merupakan Ketua Pengarah yang ke-19 dan wanita kedua yang dilantik menerajui JAPEN sejak penubuhannya pada tahun 1945.

Beliau sebelum ini telah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), JAPEN pada tahun 2023. Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa Kementerian seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain lagi.

Melalui pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau diyakini akan dapat memperkasakan tatakelola serta meneruskan kecemerlangan JAPEN.

Semoga JAPEN akan terus menjadi peneraju komunikasi kerajaan yang berwibawa seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI. – REFLEKS!