Sunday, May 26, 2024

Lagi pokok tumbang di Kuala Lumpur, 3 kereta, 5 motosikal, 1 kenderaan polis rosak

SEMBILAN kenderaan, termasuk lima motosikal dan sebuah kenderaan polis terjejas dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, Jalan P Ramlee di sini, petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika mengesahkan perkara itu, berkata kenderaan polis yang terbabit sedang dalam tugas mengiring konvoi Ketua Menteri Melaka ke ibu negara.

“Kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku pada jam 3.26 petang. Tiga kereta, lima motosikal dan sebuah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang mengetuai konvoi Ketua Menteri Melaka terbabit.

“Tiada sebarang kecederaan berlaku ke atas semua pemandu dan penumpang kenderaan yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebuah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang mengetuai konvoi Ketua Menteri Melaka terbabit dalam kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di Jalan Pinang pada jam 3.26 petang semalam

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, mengesahkan menerima lima laporan kejadian pokok tumbang masing-masing dua laporan di Taman Gembira dan Universiti Malaya (UM) dan satu laporan di Jalan Pinang.

Di Taman Gembira, katanya, sebatang pokok dilaporkan tumbang di Jalan Rahmah yang menghalang lalu lintas dan satu pokok tumbang menimpa bumbung sebuah rumah di Jalan Selesa 1.

“Kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku berhampiran Fakulti Perubatan UM dan menghempap sebuah kereta. Kejadian sama turut berlaku di Bangunan Peperiksaan UM membabitkan sebuah kereta.

“Dalam kejadian di hadapan Menara British, Jalan Pinang, lapan kenderaan terjejas akibat pokok tumbang terdiri daripada tiga kereta dan lima motosikal,” katanya dalam kenyataan

Menurut kenyataan itu, semua kejadian tidak membabitkan mangsa.

“Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang sedang dilakukan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Baca ini > Seorang maut, 17 kenderaan rosak dihempap pokok tumbang di ibu negara