Saturday, July 27, 2024

Lawatan kerja ke Turkiyè peluang teroka bidang pertahanan – Mohamed Khaled

MALAYSIA akan memanfaatkan hubungan diplomatik yang baik dengan Republik Turkiyè untuk memperkasakan kerjasama pertahanan antara kedua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia akan menggunakan keakraban diplomasi dengan Turkiyè untuk melihat peluang kerjasama khususnya melalui pertemuan dengan Ministry of National Defense Turkiye (MoND).

Khaled bersama delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) kini dalam lawatan kerja selama lima hari ke Turkiyè.

“Dalam rangka lawatan ini Mesyuarat Malaysia – Türkiye High Level Committee on Defence Cooperation (HLC) Meeting akan diadakan buat julung kalinya. Ia melibatkan MINDEF dan MoND.

“Saya juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Turkiyè, Yaşar Güler,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata, pada lawatan itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkenaan Perolehan Produk-Produk Pertahanan serta Perjanjian-Perjanjian Kolaborasi dan Kerjasama melibatkan pemain-pemain industri pertahanan Malaysia dan Türkiye akan turut dimeterai.

Khaled berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Secretariat of Defence Industries (SSB), sebuah institusi yang ditubuhkan untuk menguruskan industri pertahanan Turkiye dan pembekalan teknologi ketenteraan bersama anak syarikat sekutunya, STM.

“Selain itu delegasi Malaysia akan melawat industri pertahanan seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAŞ), Aselsan dan Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE), di samping pertemuan bersama DESAN Shipyard,” katanya lagi.

Baca ini > Mohamed Khaled ketuai delagasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan di Singapura