Wednesday, July 3, 2024

Pasar Pagi Sungai Mulia Beroperasi Setiap Sabtu Minggu Kedua Dan Keempat

Bermula Julai hingga Disember, Pasar Pagi Sungai Mulia akan beroperasi pada setiap Sabtu minggu kedua dan keempat dari jam 7.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Pengarah program, Akyem Samad berkata, pengunjung bukan hanya berpeluang mendapatkan barangan segar malah boleh menikmati suasana kampung.

“Pasar Pagi Sungai Mulia adalah sebuah pasar yang benar-benar beroperasi dalam kawasan kampung yang diiktiraf sebagai kampung warisan dalam Kuala Lumpur.

“Jadi penganjuran Pasar Pagi Sungai Mulia bukan sekadar mengangkat aktiviti ekonomi malah turut menaikkannya sebagai satu kawasan tumpuan,” katanya.

Kata Akyem Samad, orang ramai yang berkunjung ke Pasar Pagi Sungai Mulia boleh mencari sayur kampung, sarapan tradisonal sehinggalah ke barangan elektronik.

“Pasar Pagi Sungai Mulia bersifat universal. Kita bawakan juga vendor yang menjual barangan seperti produk kesihatan dan pakaian preloved misalnya.

“Disebabkan ada pelbagai barangan, orang kampung seronok dan minta Pasar Pagi Sungai Mulia diteruskan dengan lebih kerap,” ujar Akyem Samad.

Pasar Pagi Sungai Mulia adalah sebuah program pembangunan ekonomi anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Mulia.

Dengan memanfaatkan kawasan padang terbuka, Pasar Pagi Sungai Mulia beroperasi di Lorong Sungai Mulia 2, Batu 4 3/4, Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

Ia menghimpunkan kira-kira 20 vendor yang terdiri daripada belia dan peniaga kecil, yang masing-masing komited mengasah bakat keusahawanan.

Berikut adalah jadual pengoperasian Pasar Pagi Sungai Mulia bermula Julai hingga Disember 2024:

Jadual Pasar Pagi Sungai Mulia 2024
Jadual Pasar Pagi Sungai Mulia 2024