Wednesday, July 3, 2024

Pelajar jatuh tingkat lima bangunan sekolah meninggal dunia

PELAJAR tingkatan satu yang dilaporkan cedera selepas terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Kajang Jumaat lalu, meninggal dunia awal pagi semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof yang berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kajang.

Katanya, laporan bedah siasat mengesahkan pelajar lelaki itu meninggal disebabkan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Namun, polis tekah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini secara terperinci,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Naazron, seramai lapan saksi telah dirakam percakapan berhubung insiden itu dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Berdasarkan rakaman kamera litar terutup (CCTV), katanya, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah, bukan tingkat tiga.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektit Muhammad Faizal bin Azizi di talian 011-16120032 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar mengalami kecederaan di kepala dan bahagian badan akibat terjatuh dari bangunan sekolah dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang.

Baca ini > 3 lemas ketika mandi di kolam latihan tentera di Kuantan