Wednesday, July 3, 2024

Runtuhan susulan berlaku di kaki Gunung Kinabalu

TANAH runtuh yang berlaku di Gunung Kinabalu pada Ahad, membawa kepada runtuhan susulan di kawasan kaki gunung ulu Sungai Mesilau pada awal pagi Selasa.

Runtuhan kecil yang berlaku pada jam 8.50 pagi itu menyebabkan warna air berubah menjadi keruh di sungai tersebut.

Penguasa Taman Kinabalu Sub-Stesen Mesilau, Suhaimin Dusilin berkata, susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Gunung Kinabalu pada Ahad menyebabkan satu lagi runtuhan kecil dikesan berlaku di Mesilau.

“Namun, keadaan landskap sungai tidak berubah cuma airnya berubah warna menjadi keruh.

“Setakat ini, paras air sungai juga dalam keadaan normal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Talib berkata, pihaknya sekali lagi membuat pemantauan di Sungai Mesilau berhampiran Mesilau Nature Resort.

“Pihak bomba juga mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung yang berhampiran kawasan Sungai Mesilau.

“Air sungai masih mengalir seperti biasa cuma sedikit berlumpur,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan Gunung Kinabalu, pada awal pagi Ahad dan video mengenainya turut tular di media sosial.

Baca ini > KJAM cipta rekod tawan 14 puncak gunung tertinggi di Malaysia dalam tempoh 87 hari