Sunday, May 26, 2024

Sekarang Anda Boleh Tambah Kad Maybank Pada Google Wallet

Setelah dinantikan sekian lama, kini nampaknya Maybank telah mula menambah sokongan untuk Google Pay, sekaligus membolehkan para pengguna peranti Android dengan sokongan NFC untuk menambah kad Maybank pada Google Wallet, dan menggunakannya dalam pembayaran pada terminal di kedai.

Dengan langkah ini, ia sekaligus akan memudahkan lagi urusan pembayaran menggunakan peranti pada sebarang kedai yang menerima pembayaran melalui terminal pembayaran kad. Pengguna hanya perlu mengaktifkan ciri Google Pay, dan menyentuh pada peranti untuk membayar.

Mengikut ujian kami, Maybank dilihat menyokong kad Visa dan Mastercard – kedua-dua debit dan kredit untuk ditambah pada Google Pay.

Melalui halaman terma juga, Maybank turut menyediakan promosi untuk pulangan tunai 100% (terhad RM10) untuk transaksi pertama, bagi sejumlah pengguna terawal.

Bagi anda yang menggunakan peranti Android dengan sokongan NFC, boleh memuat-turun aplikasi Google Wallet, dan menambah kad Maybank padanya hari ini. Selain kad Maybank, beberapa bank lain turut disokong, termasuk CIMB, Bank Muamalat, AmBank, Hong Leong Bank, HSBC Bank, Public Bank, Standard Chartered Bank, dan juga Wise.

SourceAmanz.my