Wednesday, June 26, 2024

Sime Darby Property cadang buat penyusunan semula dalaman

SIME DARBY Property Bhd (SDP) menyarankan penyusunan semula dalaman untuk memperkemas strukturnya kepada aliran perniagaan berasingan yang dapat dikenal pasti untuk lebih mencerminkan kepelbagaian operasi kumpulan dan memperoleh struktur korporat yang lancar.

SDP berkata menerusi cadangan itu, perniagaan pembangunan hartanahnya akan dipindahkan kepada Sime Darby Property (Bukit Jelutong) Sdn Bhd, Sime Darby Property (City of Elmina) Sdn Bhd, Sime Darby Property (Lagong) Sdn Bhd, MVV Holdings Sdn Bhd dan Sime Darby Property (HL) Sdn Bhd.

Perniagaan perkhidmatan pengurusan pula akan dipindahkan kepada SDP (Management Services) Sdn Bhd.

“Selepas selesai cadangan penyusunan semula di peringkat dalaman ini, SDP akan hanya beroperasi sebagai syarikat pegangan pelaburan,” kata SDP dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Pada masa ini, SDP terlibat terutama dalam perniagaan pembangunan hartanah, perniagaan perkhidmatan pengurusan dan berperanan sebagai syarikat pemegangan pelaburan tersenarai bagi kumpulan itu.

SDP berkata ia telah memeterai perjanjian penyusunan semula dengan anak syarikatnya melalui skim penyusunan ahli di bawah Seksyen 366 dan 370 Akta Syarikat 2016, dan cadangan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa berkaitan.

Menurut syarikat, langkah yang dicadangkan itu dijangka selesai pada suku keempat 2024, dan diramal tidak memberi impak penting terhadap pendapatan dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024. – BERNAMA

Baca ini > Keuntungan suku tahun pertama Sime Darby Property meningkat 42.8%