Saturday, July 27, 2024

UniKL, Huawei metrai MoU perkasa sistem pengurusan bencana lebih sistematik

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) dan syarikat telekomunikasi terkemuka China, Huawei semalam menjalinkan kerjasama bagi memperkasa sistem kawalan pengurusan bencana.

Melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak itu, Malaysia dijangka menerima sistem pengurusan bencana lebih sistematik menggunakan teknologi terkini sebagai persediaan menghadapi bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, MoU tersebut juga dapat memudahkan urusan pertukaran maklumat akademik dan penyelidikan.

“Selain itu, MOU ini juga merangkumi hasrat bagi penubuhan Pusat Pengendalian Pintar Huawei di Kampus UniKL BMI yang akan menjadi teras kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Pusat ini juga dapat menyediakan peluang latihan dan kursus pendek yang diiktiraf untuk manfaat pelajar UniKL dan seluruh masyarakat,” katanya menerusi Facebook rasmi beliau.

Sebelum itu Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyaksikan majlis mendatangani MoU itu ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Huawei di Shenzen, China semalam.

Pada majlis itu UniKL diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Madya Ir Dr Azman Senin manakala Huawei diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Huawei, Guo Ping dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – REFLEKS!

Baca ini > YLTAT, GTA dan UniKL jalin kerjasama tingkat kebolehpasaran anak-anak warga dan veteran ATM