Saturday, July 27, 2024

Yang Di-Pertua Dewan Negara Mutang Tagal meninggal dunia

YANG Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Perkara itu disahkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, mendiang disahkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.46 pagi tadi.

“Beliau telah menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia, Isnin lalu dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

“Maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian,” kata kenyataan itu hari ini.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara memberitahu, keluarga mendiang turut mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan.

Pada masa sama, keluarga beliau turut menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka dalam menghadapi masa yang sukar ini.

Mutang, 69, mengangkat sumpah jawatan pada 19 Februari lalu sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.

Beliau adalah Orang Ulu yang pertama dilantik memegang jawatan itu, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas di Sarawak dari 1982 hingga 1990 dan memiliki latar belakang pendidikan serta praktis dalam bidang perundangan.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga anak.

Isnin lalu, beliau dilaporkan menerima rawatan perubatan susulan di sebuah hospital di Kuala Lumpur selepas mengalami masalah kesihatan ketika melakukan lawatan kerja di Azerbaijan.

Mutang selamat tiba di ibu negara pada pukul 1 pagi tadi untuk menerima rawatan lanjut ekoran masalah kesihatan itu.

Beliau berada di Azerbaijan untuk lawatan kerja sejak 29 April lalu dan telah pulang lebih awal daripada jadualnya.

Mendiang telah mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri 6th World Forum on Intercultural Dialogue yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.

Sebelum menghadiri forum berkenaan, mendiang juga telah melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden; Perdana Menteri dan Speaker Milli Majlis Azerbaijan serta menghadiri mesyuarat dan taklimat oleh pemain industri di negara tersebut.