Monday, July 1, 2024

Zainal Azni dilantik sebagai Ketua Pengarah baharu RISDA

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan pelantikan Zainal Azni bin Zulkifli sebagai Ketua Pengarah baharu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkuatkuasa 7 Jun 2024. Pelantikan ini menandakan satu transisi penting berikutan persaraan Ketua Pengarah RISDA semasa, Datuk Abdullah bin Zainal pada 6 Jun 2024.

Watikah pelantikan ini telah disampaikan sendiri oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu mesyuarat yang diadakan di Putrajaya semalam.

Pengalaman luas dan kecemerlangan Zainal Azni dalam pelbagai jawatan penting pelbagai organisasi termasuk RISDA, menjadikan beliau calon ideal bagi menerajui agensi ke fasa baharu pembangunan sektor pekebun kecil getah di negara ini.

Mulai tahun 2020, beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn. Bhd. (KRH) dan berjaya mencapai keuntungan signifikan sebanyak RM53.3 juta yang merupakan pencapaian tertinggi syarikat RISDA dalam tempoh ini.

Mandat yang dipertangunggjawabkan ini telah memperlihatkan pencapaian syarikat melalui peningkatan keuntungan sebanyak 5% setiap tahun seterusnya menjadikan syarikat di bawah KRH antara yang terbaik di bawah naungan KKDW.

Berlatarbelakangkan pendidikan Ijazah Sarjana Muda Perundangan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memiliki rekod perkhidmatan luas dalam bidang kehakiman, perundangan, polisi serta operasi termasuklah dalam sektor korporat dalam negara dan antarabangsa menjadikan Zainal Azni calon terbaik dilantik sebagai Ketua Pengarah RISDA yang ke-17.

Pelantikan ini juga menjadi bukti kepada rekod kecemerlangan pencapaian, kepimpinan tinggi dan berwawasan strategik ditunjukkan Zainal Azni yang diperlukan dalam memastikan RISDA terus unggul ke arah mancapai misi agensi menuju kelestarian pembangunan sektor pekebun kecil getah di fasa 50 tahun kedua.

RISDA akan terus memberikan komitmen sepenuhnya di bawah KKDW untuk menjadi peneraju bagi membangun dan meningkatkan taraf hidup komuniti pekebun kecil melalui sektor getah, hasil baharu dan keusahawanan selaras dengan aspirasi Desa Madani.

Baca ini > KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor