Sunday, May 26, 2024

CBP buka cawangan di Papar

CO-OPBANK Pertama (CBP) hari ini merasmikan cawangan terbaru di Papar, Sabah yang merupakan cawangan ke-34 institusi kewangan tersebut.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick. Turut hadir ke majlis perasmian tersebut adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi.

Baharom berkata, pembukaan cawangan Papar ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat selain seiring dengan perancangan strategik CBP untuk mengembangkan lagi perniagaan negeri berkenaan.

“Cawangan Papar adalah cawangan yang keempat CBP di Sabah selepas Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. CBP juga merancang untuk membuka dua buah lagi cawangan pada tahun ini iaitu di Bangi, Selangor dan juga Segamat, Johor pada suku keempat tahun ini.

“Dengan pembukaan cawangan ini, ianya menunjukkan bahawa CBP komited bahawa perancangan yang digariskan di dalam Pelan Strategik CBP 2022-2026 untuk memiliki 36 buah cawangan di seluruh negara dapat dicapai dengan jayanya.

Selain itu, juga, Datuk Ewon turut merasmikan perkhidmatan Bank Bergerak CBP yang pertama kali diperkenalkan di negeri Sabah selain daripada pelancaran aplikasi HeloCBP.

“Perkhidmatan Bank Bergerak di Papar ini akan memberikan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat setempat di mana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan perbankan seperti deposit, pengeluaran dan beberapa perkhidmatan lain yang ditawarkan.

“Selain itu, menerusi aplikasi HeloCBP yang diperkenalkan, pelanggan-pelanggan CBP dapat melakukan pemindahan wang dengan lebih pantas berbanding sistem yang digunakan CBP sebelum ini. Pengenalan aplikasi ini merupakan salah satu langkah menuju ke arah digitalisasi CBP dan akan ditambahbaik dari masa ke masa,” katanya. – REFLEKS!

Baca ini > CBP catat prestasi memberangsangkan suku pertama 2024