Monday, May 6, 2024

CBP catat prestasi memberangsangkan suku pertama 2024

CO OPBANK Pertama (CBP) telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada suku tahun pertama 2024 dengan mengumpulkan jumlah aset yang mencecah hampir RM11.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, CBP turut berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM30 juta pada tiga bulan pertama tahun ini.

“Pada masa yang sama, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) masih di bawah paras industri iaitu 1.6 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dan saya harap kadar ini akan terus berkekalan hingga akhir tahun,” katanya.

Beliau menambah, antara faktor yang memastikan kejayaan ini ialah disebabkan penggunaan perbankan digital iaitu aplikasi HeloCBP yang dilancarkan baru-baru ini yang mendorong kepada kecekapan perkhidmatan CBP.

“Kaedah HeloCBP ini ternyata amat memudahkan pelanggan melakukan urus niaga perbankan atas talian tanpa perlu ke kaunter,” jelasnya.

Sehubungan itu, CBP juga merancang untuk melancarkan produk-produk baharu seperti Ar Rahnu Flexi, perniagaan kiriman wang dan perkhidmatan sewa beli, di samping pembiayaan peribadi kepada segmen-segmen baharu seperti kakitangan swasta.

Terdahulu, CBP telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri CBP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Isnin.

Lebih 2500 orang tetamu telah menghadiri majlis itu yang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada para pelanggan, pemegang saham dan rakan-rakan niaga CBP.

Turut hadir Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi; Timbalan Pengerusi CBP, Puan Hajjah Nor Hidayah Omar serta Anggota Lembaga CBP; Pengurusan Kanan CBP, wakil-wakil agensi kerajaan dan koperasi serta rakan strategik yang lain.

Pada majlis sama, CBP turut menyempurnakan Penyampaian Hadiah Kempen Hello CBP 2024 Bagi Suku Pertama kepada 10 orang pemenang.

Hadiah utama, iaitu sebuah kereta Proton S70, telah dimenangi Abdul Hamid Osman. Manakala dua buah motorsikal Suzuki Gixxer 250 telah disampaikan kepada Abu Bakar Yahaya dan Adi Norazwan Misuan.

Selain itu, CBP turut menyampaikan hadiah-hadiah lain seperti pakej umrah dan pelbagai hadiah barangan elektrik lain yang bernilai keseluruhannya kira-kira RM300,000.

Cabutan hadiah Kempen Hello CBP 2024 ini diadakan pada setiap suku iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember.

Objektif kempen ini ialah untuk memberi penghargaan kepada para pelanggan sedia ada atau baharu yang setia melanggan produk-produk runcit CBP seperti deposit, Pembiayaan Peribadi Al-Yasser, Pembiayaan Perumahan Al-Amali, Pembiayaan Ar Rahnu, Takaful Smartcare dan sebagainya.

CBP juga berharap penyampaian hadiah-hadiah ini dapat memberi galakan kepada masyarakat yang masih belum melanggan CBP untuk mendapatkan perkhidmatan- perkhidmatan yang ditawarkan oleh CBP seperti yang disebutkan tadi. – REFLEKS!

Baca ini > CBP tawar hadiah lumayan melalui Kempen Hello CBP 2024