Friday, July 5, 2024

EURO 2024: Drama penalti akhirnya buat Slovenia gigit jari

Bernardo Silva menyepak masuk penalti kemenangan manakala Diogo Costa menyelamatkan tiga penalti pertama Slovenia sekali gus membantu Portugal layak ke suku akhir Euro 2024 sebentar tadi.

Selepas kedudukan terikat selama 90 minit, Cristiano Ronaldo berpeluang untuk meletakkan Portugal di depan menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama masa tambahan.

Bagaimanapun, penjaga gol Slovenia, Jan Oblak dapat mengagak dengan tepat hala tuju sepakan kapten Portugal itu sekali gus menyaksikan pemain berusia 39 tahun itu dilihat menangis.

Kedua-dua pasukan gagal mencetak gol dan akhirnya pertembungan itu berakhir dengan penentuan sepakan penalti.

Sepakan penalti pertama Slovenia yang diambil Josip Ilicic diselamatkan oleh Costa sebelum Ronaldo meletakkan pasukannya di depan, kali ini dia berjaya menewaskan Oblak.

Costa turut cemerlang apabila menyelamatkan sepakan kedua Slovenia menerusi Jure Balkovec sebelum Bruno Fernandes menyempurnakan tugasnya untuk membolehkan Portugal mendahului 2-0 ketika penentuan penalti.

Penjaga gol FC Porto itu sekali lagi menyelamatkan sepakan penalti Benjamin Verbic, sekali gus membuka peluang kepada Silva untuk merembat masuk penalti kemenangan buat Portugal sekali gus mara ke suku akhir.

Mereka akan bertemu Perancis pada suku akhir di Hamburg awal pagi Sabtu ini. – Reuters

Baca ini > EURO 2024: Mbappe mahu beraksi dalam perlawanan menentang Poland