Friday, July 5, 2024

Hampir 7,000 pengunjung lawati reruai Maritim Malaysia sempena DSA & NATSEC 2024

DIANGGARKAN lebih 7,000 pengunjung melawat reruai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang berlangsung selama empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC) yang bermula Isnin lalu.

Program yang berakhir hari ini telah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pemain industri keselamatan tempatan serta syarikat terkemuka luar negara seperti United Kingdom, China dan Perancis.

Malah usaha Maritim Malaysia mengetengahkan penggunaan teknologi realitii maya atau ‘Virtual Reality’ sempena DSA dan NATSEC 2024 turut menarik perhatian agensi penguat kuasa luar negara seperti Turkiye dan Belanda.

Agensi-agensi berkenaan menyatakan rasa kagum dan berhasrat untuk menggunakan teknologi seumpama itu untuk kegunaan latihan maya dan perkongsian maklumat berkaitan peranan dan tanggungjawab Agensi kepada umum.

Dalam pada itu pameran DSA dan NATSEC 2024 turut membuka ruang kepada Maritim Malaysia dalam meningkatkan kerjasama antara agensi penguat kuasa luar negara melalui pertemuan bilateral yang diadakan sepanjang acara ini berlangsung.

Selain pemain industri keselamatan dan agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara, reruai Maritim Malaysia turut menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada Majlis Penutup Pameran DSA & NATSEC Asia 2024, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengumumkan penganjuran Pameran DSA & NATSEC Asia 2026 dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 April 2026. – REFLEKS! 

Baca ini > Empat buah helikopter AW189 bakal pertingkat pengoperasian udara Maritim Malaysia