Sunday, May 26, 2024

Insiden pokok tumbang: DBKL diarah tebang pokok berisiko tinggi

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah mengambil tindakan segera menebang pokok yang berisiko tinggi di ibu negara.

Ia susulan insiden pokok tumbang berlaku di Jalan Pinang semalam, hanya seminggu selepas seorang maut akibat insiden sama di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa juga telah mengarahkan DBKL menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang.

Beliau berkata, pihak DBKL juga telah diarah untuk menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap Julai nanti supaya insiden sama tidak berulang dalam jangka masa panjang.

“Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL juga perlu memperincikan program penggantian semula pokok.

“Ia termasuk dengan meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok tersebut utuh dan selamat untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan di media sosial rasmi beliau.

Terdahulu, sebatang pokok telah tumbang di Jalan Pinang akibat hujan lebat petang tadi yang turut mengenai sebuah kenderaan polis yang mengiringi rombongan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketika kejadian, kenderaan jenis Proton X70 itu mengiringi tiga lagi kenderaan termasuk kenderaan dinaiki Ab Rauf dan mereka dalam perjalanan untuk satu urusan di ibu kota.

Bagaimanapun, kenderaan dinaiki Ketua Menteri Melaka itu terselamat, manakala kenderaan polis pengiring yang berada di hadapan rombongan terkena pokok tumbang.

Minggu lalu, seorang maut sementara seorang lagi cedera dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, pemandu peribadi, Md Rizal Atan, 47, maut dihempap pokok tumbang ketika dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya.

Kejadian itu turut menyebabkan 17 kenderaan lain dan landasan monorel rosak.

Baca ini > Lagi pokok tumbang di Kuala Lumpur, 3 kereta, 5 motosikal, 1 kenderaan polis rosak