Thursday, July 4, 2024

Intel Kini Memperlihatkan Cip Grafik Battlemage Ketiga – Mungkin Untuk Komputer Riba

Bersama-sama dengan pelancaran cip pemprosesan komputer riba Lunar Lake, Intel juga telah memperlihatkan cip grafik Intel Xe2 yang akan menjadi asas kepada pembinaan kad grafik Intel generasi kedua, Battlemage kelak.

Intel sudahpun mengesahkan bahawa cip pemprosesan grafik Intel Xe2 akan digunakan untuk menguasakan kad grafik Intel Battlemage yang dijangka akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan.

Beberapa bulan lalu, butiran mengenai kad grafik Intel Battlemage-G10 dan Battlemage-G21 telah diperlihatkan, dan nampaknya ia akan digunakan untuk menguasakan komputer kelas desktop. Terkini, butiran berkenaan cip grafik Battlemage ketiga telah tertiris melalui Intel sendiri, dan dinamakan Intel Battlemage-G31.

Menurut jangkaan beberapa laman web yang melaporkan tentang perkara ini, cip grafik Intel Battlemage-G31 ini akan digunakan dalam komputer riba generasi akan datang, dan memperlihatkan penggunaan sebanyak 32 teras Xe2.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi samada Intel akan memasuki pasaran kad grafik berprestasi tinggi, tetapi apa yang nampaknya diperlihatkan buat masa ini ialah model G31 ini dilihat hadir dengan jumlah pin (BGA 3283) dan jumlah teras Xe2 yang paling banyak diantara ketiga-tiga cip grafik yang diperlihatkan setakat ini.

Intel dilihat sedang dalam fasa ujian untuk kesemua cip-cip pemprosesan grafik ini. Setakat ini, apa yang diketahui ialah Intel masih lagi hanya akan memperlihatkan penawaran grafik dalam pasaran kad grafik kelas permulaan dan pertengahan sahaja, dan masih belum bersedia untuk berlawan dengan AMD dan NVIDIA dalam pasaran grafik kelas premium.

SourceSumber