Wednesday, July 3, 2024

Kini anda boleh ‘convert’ DeLorean DMC-12 anda menjadi EV

Electrogenic merupakan sebuah syarikat teknologi EV dari United Kingdom yang mengkhususkan dalam penghasilan kit plug-and-play untuk kereta ICE klasik.

Setakat ini, ia telah menghasilkan kit untuk model-model ikonik seperti Land Rover Defender, Porsche 911 klasik, MINI dan Jaguar E-Type.

Kini, syarikat itu bakal menggembirakan peminat ‘Back to the Future’ menerusi kit EV untuk kereta yang memainkan peranan penting dalam trilogi itu iaitu DeLorean DMC-12.

Dijual pada harga antara £65,000 hingga £85,000 (RM387,702-RM506,995), kit berkenaan merangkumi bateri berkapasiti 43 kWj yang akan diletakkan di mana tangki minyak berada, serta sebuah motor elektrik gandar belakang.

Motor elektrik tersebut mampu menjana 215 hp (160 kW) dan 310 Nm, satu peningkatan signifikan berbanding enjin V6 asal yang mempunyai 130 hp (97 kW) dan 207 Nm sahaja.

Dengan ‘nadi’ elektrik baharu ini, DMC-12 kini mampu mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j dari 10 saat kepada bawah lima saat. Walau bagaimanapun, kelajuan maksimum tidak dinyatakan.

Jarak pandu pula dikatakan mencecah 241 km dengan satu cas penuh. Kit EV ini juga menyokong pengecasan dengan kapasiti sehingga 6.6 kW dengan port pengecas ‘tersembunyi’ di sebalik nombor plat belakang.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan mod pemanduan Eco dan Sport, serta beberapa penambahan lain termasuk Apple CarPlay.

Apa yang lebih menarik, peminat DMC-12 yang mungkin ragu-ragu untuk menukarkan kereta ikonik mereka menjadi EV tidak perlu risau kerana ia boleh dikembalikan kepada keadaan asal kerana prosesnya tidak melibatkan sebarang pemotongan badan atau pengubahsuaian casis.

Malah, ia tidak terlalu menjejaskan berat keseluruhan serta karakter pengendalian kereta kerana berat kit ini hanyalah sekitar 40 kg.

Pemasangan kit EV ini juga tidak terhad kepada UK sahaja kerana Electrogenic mempunyai rangkaian pemasangan di peringkat antarabangsa yang disediakan menerusi rakan-rakan perniagaannya di seluruh dunia.

Sumber www.motoqar.com