Friday, July 5, 2024

Kuala Lumpur Beruntung Kerana Bangunan Bersejarah Terus Dipelihara

Kuala Lumpur bukan sahaja dikenali sebagai pusat ekonomi dan perdagangan, tetapi juga sebagai kota yang memelihara warisan dan memartabatkan budaya.

Seorang pekerja swasta, Muhammad Azam, 28, berkata, antara menarik tentang Kuala Lumpur ialah usaha gigih dalam memelihara bangunan bersejarah.

“Saya kagum dengan usaha pihak tertentu yang bekerja keras mengekalkan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

“Bangunan-bangunan ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, tetapi juga mengingatkan kita tentang sejarah dan warisan kita yang kaya,” katanya.

Azam berkata demikian kepada Refleks.my ketika ditanya mengenai pendapat positifnya mengenai Kuala Lumpur dari aspek warisan dan kebudayaan.

Bagi Azam, pemeliharaan tersebut penting untuk generasi akan datang agar mereka memahami dan menghargai asal-usul serta identiti negara.

Dalam masa sama, Azam turut memuji penganjuran pelbagai festival kebudayaan dan seni yang sering diadakan di Kuala Lumpur.

“Festival seperti KL International Arts Festival dan Hari Kebudayaan Malaysia adalah platform yang hebat untuk mempamerkan seni, muzik, dan tarian tradisional kita.

“Ia bukan sahaja memperkayakan pengalaman budaya kita sendiri, tetapi juga menarik minat pelancong asing,” jelasnya.

Tambah Azam, festival sedemikian membantu meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya di Malaysia dan kukuhkan semangat perpaduan rakyat.

Azam turut menekankan pentingnya pendidikan dan kesedaran budaya di kalangan penduduk Kuala Lumpur.

“Banyak institusi pendidikan dan organisasi budaya yang menawarkan kursus serta bengkel tentang warisan dan budaya Malaysia.

“Ini adalah cara yang baik untuk memastikan generasi muda tidak melupakan akar budaya mereka,” kata Azam.

Beliau juga menyatakan bahawa program-program seperti ini membantu memupuk rasa bangga terhadap warisan sendiri dan menggalakkan pemeliharaan budaya secara berterusan.

Azam melihat Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang bukan sahaja maju dalam aspek pembangunan fizikal, tetapi juga kaya dengan usaha memelihara warisan dan budaya.

“Saya berharap usaha-usaha ini akan terus diperkukuhkan dan diperluas agar kita dapat mengekalkan identiti dan warisan kita di tengah arus kemodenan,” tambahnya. – REFLEKS!