Friday, July 5, 2024

Malaysia bersedia sertai BRICS – PM Anwar

MALAYSIA akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami telah mengambil keputusan yang sewajarnya. Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan,” kata Perdana Menteri dalam temu bual bersama Guancha, syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China.

Memetik laporan NEWS.AZ, Anwar berkata sebelum ini beliau mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Kumpulan BRICS telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak kemunculannya pada 2006.

Pada 2011, Afrika Selatan menyertai ahli asal yang termasuk Brazil, Russia, India dan China. Pada Ogos 2023, enam ahli baharu, termasuk Argentina, dijemput untuk menyertai kumpulan itu.

Buenos Aires menukar fikirannya pada akhir Disember tahun lalu. Lima ahli baharu, Mesir, Iran, UAE, Arab Saudi dan Ethiopia, secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia, bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

Baca ini > PM China lawat Malaysia sempena Jubki Emas hubungan Malaysia-China